SEREMBAN – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan minyak diesel tanpa lesen.
Bagaimanapun, ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) terbabit iaitu E. Parthiban, 33, R. Letchuman, 31 dan U. Kesavan 32, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Parthiban dan Letchuman didapati memiliki barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 706 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Perbuatan OKS itu dilakukan di dalam muatan lori buatan Nissan dengan nombor pendaftaran DAL 7300.
Letchuman dan Kesavan juga didapati didapati miliki barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 9,725 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Perbuatan tersebut dilakukan di dalam muatan lori buatan Hino dengan nombor pendaftaran NAR 1728 beserta tangki dengan nombor pendaftaran T/N 3705.
Kesemua perbuatan ketiga-tiga OKS terbabit dilakukan berhadapan stor MHMT Holdings Sdn. Bhd. Jalan PS 2/3 Taman Pinggiran Senawang, Seremban kira-kira pukul 3 petang pada 7 Februari lalu.
Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi mencadangkan kepada mahkamah agar mengenakan wang jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguambela ketiga-tiga OKS, Tunku Nor Farhana Asheila Tunku Amirudin memohon mahkamah membenarkan satu jumlah ikat jamin yang paling minimum dapat diberikan.
Mohamad Kamil kemudiannya menetapkan wang jaminan dikenakan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS di samping syarat tambahan iaitu OKS perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan tarikh sebutan ditetapkan pada 12 Mac depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE