TEMERLOH – Seorang ibu yang menyewa rumah di Batu 1, di sini, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak lelakinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2020.
Rosmanidar Rusli, 52, berkata, anak lelaki harapan keluarga, Zulkiflee Anwar, 24, itu kini hanya terlantar di atas katil sejak kemalangan tersebut.
Menurutnya, selepas empat tahun, Zulkiflee yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik bagaikan seorang bayi yang perlu dijaga setiap hari.
“Zulkiflee ditimpa kemalangan ketika menunggang motosikal seorang diri di Kampung Sungai Ling, Maran ketika mahu pulang ke Temerloh. Dia yang bekerja di Senawang pulang bercuti untuk bertemu kawan di Kuantan.
“Dia terlanggar pacuan empat roda ketika kenderaan itu membelok ke simpang jalan. Dia cedera parah di kepala, tangan kanan patah dan lain-lain kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Rosmanidar memberitahu, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan bagi menjaga Zulkiflee sepenuh masa.
“Kami sekeluarga terpaksa berjimat-cermat makan apa yang ada kerana suami saya, Anwar Mohamad, 62, pula menghidap paru-paru berair dan tidak boleh bekerja,” katanya.
Menurutnya, sumber kewangan keluarganya ketika ini adalah daripada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan Zakat Pahang berjumlah RM300 selain pemberian anak-anak yang sudah bekerja.
Tambahnya, kos penjagaan Zulkiflee sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk 10 tin susu khas berharga RM100 setin serta lampin pakai buang.
“Kos juga diperlukan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan dan bayaran utiliti,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank milik Rosmanidar 156020468923.