fbpx

Saya hairan, masih ada pertahankan perasuah besar – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di MITC di Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan menyindir dan mempertahankan golongan perasuah yang dikenakan tindakan undang-undang terhadap perbuatan melibatkan kerugian negara bernilai berbilion ringgit.

Beliau berkata, tindakan diambil adalah ketegasan sama yang dilaksanakan terhadap setiap rakyat di negara ini tanpa mengira jawatan atau pangkat diberikan demi menolak sikap tamak haloba serta kegiatan rasuah.

“Ia tidak mudah (tindakan diambil).Secara umum semuanya bersetuju tetapi bila ada tindakan ramai mengeluh, kadang terkena pada golongan ‘maha kaya’ yang telah mengumpul kekayaan berbilion ringgit, namun masih ada pertahankan mereka kononnya orang itu sudah tua, kes lama. Saya rasa aneh.

“Polis (berpangkat) Sarjan kalau ditangkap ambil RM500 dia didakwa, di kampung kalau curi motosikal didakwa dan dipenjara sama ada dia sakit atau di hospital. Tetapi bila kita ambil tindakan pada perasuah besar negara timbul kenyataan mengapa dendam, mengapa zalim, mengapa tidak mengira umur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, negara kini menanggung hutang sebanyak RM1.5 trilion dan kerajaan terpaksa merangka ekonomi dengan cermat serta menonjolkan ketegasan menerusi penguatkuasaan bagi menghapuskan golongan perasuah.

Ujarnya, beliau bagaimanapun berbangga dengan profesionalisme oleh agensi-agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bangga kerana ketegasan kita, mereka bertindak profesional dan terhadap golongan yang telah diketahui merompak kekayaan berpuluh bilion daripada negara ini.

“Kita sekarang mengeluh, hutang termasuk yang terkumpul mencecah RM1.5 trilion, mahu belanja sewenang (dianggap) tidak bertanggungjawab, mahu cermat takut menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin, kesihatan dan lain-lain, jadi kita terpaksa merangka ekonomi dengan begitu cermat,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa penjawat awam agar tidak hanya melihat pada keistimewaan pada jawatan diberikan tetapi mengutamakan kebertanggungjawab dan menolak amalan rasuah untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam menyelamatkan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI