fbpx

Pelajar lelaki juga perlu diberi kesedaran haid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANCY (duduk, kiri) bergambar bersama pelajar sekolah yang menyertai Program Kasih Remaja Kotex #SheCan Project di Hikmah Exchange, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

BUAT julung kalinya, pelajar lelaki sekolah menengah di Kuching, Sarawak dibawa untuk menyertai program kesedaran haid.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia antara langkah bagi menoktahkan stigma yang sekian lama menyelubungi masyarakat berhubung haid.

Menurutnya, sebelum ini, program kesedaran mengenai haid hanya membabitkan pelajar perempuan.

Namun, katanya, bagi mengikis stigma itu, pelajar lelaki perlu dididik agar mereka memahami mengenai haid dan kesihatan reproduktif.

“Ini kali pertama kita menganjurkan program kesedaran haid dengan pelajar lelaki. Kita akan teruskannya dalam program lain seluruh negara. Penyertaan pelajar lelaki penting dalam usaha kita mengikis stigma mengenai haid.

“Ini membantu mereka memahami sebab rakan perempuan mereka sakit perut atau tidak datang sekolah ketika mengalami haid,” katanya.

Nancy berkata demikian pada Majlis pelancaran Program Kasih Remaja Kotex #SheCan Project di Hikmah Exchange, Kuching baru-baru ini.

Seramai 1,000 pelajar sekolah sekitar Kuching dengan 300 daripadanya pelajar lelaki menyertai program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan serta Kimberly-Clark itu.

Ujar Nancy, menerusi program itu, seramai 600,000 pelajar sekolah wanita di seluruh negara diperkasa dengan akses kepada alat kebersihan haid yang sesuai.

Katanya, mereka juga didedahkan dengan pendidikan tentang kesihatan reproduktif.

“Ini bukan hanya soal sanitasi, tetapi berkaitan maruah, keyakinan, dan potensi penuh mereka.

“Kami juga mengambil inisiatif untuk memperkasakan pelajar lelaki dengan pengetahuan dan kesedaran tentang isu haid. Ini adalah langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih empati dan memahami,” ujarnya.

Nancy berkata, berdasarkan Laporan Kajian Status Pengurusan Haid yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) tahun lalu, sebanyak 9.9 peratus daripada 130,000 pelajar perempuan mempunyai masalah mendapatkan produk pengurusan haid.

Justeru katanya, peruntukan sebanyak RM5.3 juta disediakan KPWKM bagi menjayakan program membantu pelajar yang menghadapi masalah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI