JAKARTA – Indonesia akan mengadakan pilihan raya Presiden (pilpres) Rabu ini tetapi calon-calon bertanding menggunakan populariti negara lain untuk meraih undi iaitu K-pop, sensasi Korea Selatan yang melanda sebahagian besar dunia.
Dalam satu kempen yang diadakan oleh sukarelawan muda untuk calon pilpres, Anies Baswedan di Jakarta, peminat tegar K-pop menyunting foto beliau. Wajah Anies ‘dipakaikan’ cermin mata hitam dan aksesori lain mirip bintang pop Korea Selatan.
Di Indonesia, megastar BTS dan kumpulan K-pop lain sangat popular, memberikan ahli-ahli politik laluan alternatif untuk menarik minat golongan muda. Komuniti Milenium dan Generasi Z membentuk lebih separuh daripada pengundi di Indonesia.
Beratus-ratus orang berkumpul dalam perhimpunan petang semalam dengan ada yang membawa poster, kipas kertas dan pelekat terpampang wajah Anies dalam gaya K-pop.
“Ia lucu, bahkan sangat kontemporari,” kata penganalisis cukai, Nurul Hidayah yang merupakan penyokong Anies.
“Biasanya bahan kempen adalah cara lama, terlalu membosankan. Tetapi ini sangat menyeronokkan,” tambahnya.
Sebilangan penyokong lain meletakkan imej K-Pop Anies pada baju-T mereka dan nama kempennya pada produk neon.
Anies berdepan calon pilihan yang juga Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo untuk merebut jawatan Presiden Indonesia.
Pangkalan peminat BTS di Indonesia yang dikenali sebagai ARMY telah mengadakan kempen mengumpul dana secara online untuk menyokong tujuan politik sebelum ini, dan kini calon-calon cuba menggunakan ARMY untuk kempen politik mereka.
Anies telah meniru penstriman langsung bintang K-pop semasa berkempen dengan menyiarkan video dirinya di platform TikTok dan menjawab soalan penyokong dari dalam kereta beliau.
Beliau diberikan nama panggilan ‘Park Ahn Nice’ di internet yang merupakan terjemahan fonetik Korea untuk ‘Tuan Anies’.
“Saya fikir ia adalah strategi yang baik untuk mereka menggunakan trend K-pop,” kata usahawan berusia 32 tahun, Hafidz Surapranata.
Sesetengah peminat K-pop tidak lagi ‘alergi’ untuk bercakap tentang politik kerana taktik kempen baharu ini, demikian menurut ahli antropologi digital, Karlina Octaviany.
“Ia berkesan untuk meningkatkan kesedaran pengundi,” katanya.
Akaun Twitter ditubuhkan oleh peminat K-pop yang didakwa untuk mempromosikan kempen Anies telah mengumpulkan lebih 120,000 pengikut.
Prabowo turut menggunakan media sosial untuk menampilkan dirinya sebagai ‘Datuk Comel’ dan menari untuk menampilkan imej lebih lembut.
Parti Gerindranya tahun lalu menyeru peminat supaya memakai barangan daripada kumpulan K-pop Blackpink di hadapan poster Prabowo. – AFP