fbpx

Mak Teh lawan dua penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHAYATI (kanan) dan Normah melihat keadaan dinding papan yang diumpil dua penyamun di Kampung Air Besar, Kepis Ulu, Kuala Pilah semalam. – NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Kudrat seorang wanita warga emas tidak berdaya bergelut dan melawan dua penyamun yang memecah masuk ke rumahnya di Kampung Air Besar, Kepis Ulu, di sini semalam.

Akibat kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Pasah Amat, 70-an, terpaksa dirawat di Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, selepas mengadu sakit di bahagian tulang rusuk, selain sesak nafas.

Menurut anak saudara mang­sa, Norhayati Maasim, 34, dia dan suami menyedari kejadian tersebut selepas dihubungi salah seorang saudaranya yang memaklumkan Pasah atau mesra dengan panggilan Mak Teh telah disamun dan suaranya meminta tolong didengari kira-kira pukul 7 pagi.

“Saya dan suami yang tinggal tidak jauh bergegas ke rumah Mak Teh. Ketika sampai, anak saudara saya, Mohd. Rizal Isa, 30, serta jiran sudah ada. Mak Teh yang tinggal berseorangan duduk di atas kerusi sambil mengadu kejadian dia disamun.

“Mak Teh kata, kira-kira pukul 3 pagi, dia terdengar bunyi bi­sing dari bahagian atas rumah dan membuka pintu yang memisahkan bahagian bawah serta atas rumah. Sangka Mak Teh, binatang masuk ke rumah, namun rupa-rupanya penyamun menolak pintu berkenaan sebelum berlaku pergelutan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

NORHAYATI menunjukkan lokasi Mak Teh ditemui dalam keadaan cedera selepas bergelut dengan dua suspek samun semalam.

Ujar Norhayati, ibu saudaranya itu masih dalam keadaan sedikit trauma dan mengadu sakit sebelum dihantar ke hospital oleh anak bongsu yang juga kakak sepupunya, Rohana Ahmad, 56, pagi semalam.

Ceritanya, mangsa menyatakan tidak dapat menghubungi sesiapa selepas kejadian kerana telefon bimbit sudah diambil penyamun bertopeng, manakala beg duit berisi dokumen penting juga dilarikan.

Sementara itu, anak sulung Pasah, Rogayah Ahmad, 62, berkata, mereka tiga beradik segera bergegas ke rumah ibunya selepas mengetahui kejadian itu.

“Ini merupakan kali pertama berlaku (samun) di kampung ini.

“Penyamun telah menarik ampaian besi beroda yang dile­takkan di halaman rumah ke ba­hagian tepi dinding rumah atas yang sedikit tinggi untuk mengumpil dinding papan serta masuk melalui laluan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superinten­dan Amran Mohd. Gani ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI