KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi serta hidupan liar bernilai lebih RM181 juta bagi tempoh 1 Januari lalu hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Kata beliau, sebanyak 30 serbuan dan operasi termasuk Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah digerakkan di seluruh negara.
“Dalam operasi itu, seramai 91 individu ditahan dengan pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar dirampas yang dianggarkan bernilai lebih RM181 juta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, Hazani memaklumkan pihaknya turut menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai menerusi tangkapan lapan individu dengan rampasan lebih RM98 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.
Jelas beliau, barangan termasuk barang seludup bernilai RM98.7 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.
Katanya, operasi itu juga dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.
“Dalam operasi itu, kami menahan lapan individu termasuk seorang lelaki warga asing dan merampas lebih 40 juta batang rokok pelbagai jenis, 44,325 peti minuman keras jenis bir dan 391 kotak minuman keras jenis liquor.
“Selain itu, kami turut merampas sebuah van, sebuah trak angkat susun (forklift) serta lima telefon bimbit pelbagai jenama dalam serbuan berkenaan.
“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM98.7 juta dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, PDRM sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya tidak berlakunya ketirisan hasil negara.
“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.