HASRAT peminat Korea Selatan untuk bawa pulang Kim Pan-gon bagi menggantikan Jurgen Klinsmann selaku pengendali Taeguk Warriors adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Selaku salah satu pasukan gergasi di Asia, Korea Selatan sebenarnya lebih memerlukan khidmat figura berkelas Piala Dunia untuk mengetuai pasukan itu.
Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim, berkata, walaupun Pan-gon begitu dihormati sepanjang menjawat jawatan tinggi dalam Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), peminat negara tidak perlu gusar bakal kehilangan khidmat jurulatih itu.
“Tiada ada yang perlu digusarkan dan saya percaya orang Korea Selatan sudah lama profesional. Saya tidak rasa mereka sanggup tebus kontrak Pan-gon, melainkan jika di Piala Asia sebelum ini kita berjaya kalahkan mereka.
“Jika kita menang, ceritanya mungkin berbeza. Apabila Korea Selatan kalah kepada Jordan, kita boleh nampak mereka sedang berada di titik paling rendah, namun berdasarkan reputasi saya tidak percaya Korea Selatan mahukan Pan-gon.
“Korea Selatan masih ada ramai calon lain yang berkebolehan dan berkelas Piala Dunia. Saya tidak fikir perkara ini betul dan ia lebih kepada spekulasi bola sepak semata-mata,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kekalahan Korea Selatan di separuh akhir Piala Asia meletakkan Harimau Malaya keadaan bahaya apabila wujud desakan peminat yang menuntut KFA memecat Klinsmann dan digantikan oleh Pan-gon.
Klinsmann yang dilantik pada Februari tahun lalu disifatkan sebagai gagal memberikan impak seperti diharapkan iaitu memacu pasukan menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.