MELAKA – Kerajaan akan mengumumkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SPPA) selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya memberi jaminan perkara itu akan disegerakan dan dibentangkan di kabinet dalam tempoh tiga bulan ini.
“Memang ada keluhan (daripada penjawat awam), saya sudah menyatakannya kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd. Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abd. Aziz mengenai kajian sistem persaraan yang tertangguh selama 12 tahun.
“Kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan tidak meningkat, tahun lalu saya beri jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap dan saya percepatkan proses itu.
“Mungkin dalam dua bulan kita percepatkan dan dalam tempoh tiga bulan kita bentangkan kepada jemaah menteri sebelum boleh diumumkan pada suku ketiga atau selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sentiasa cakna mengenai keseimbangan di antara komitmen yang telah diberikan oleh penjawat awam dengan pulangan setara oleh pihak kerajaan.
“Jadi saya tahu (penjawat awam) sudah lama bersabar walaupun kita ada kekangan kewangan, saya tidak fikir munasabah untuk minta penjawat awam kerja lebih kerja bersungguh-sungguh, selama satu dekad tetapi belum ada kajian persaraan.
“Oleh itu jaminan sudah saya beri dan umumkan, insya-Allah saya akan segerakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE