PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan bahawa dunia sedang menuju ke arah ‘zaman huru-hara’, lapor portal berita RT kelmarin.
Guterres berkata, Majlis Keselamatan PBB terus berbalah dan gagal menangani isu geopolitik kritikal serta krisis global semasa.
Dalam ucapan tahunan tentang keutamaan Majlis Keselamatan pada tahun ini, Guterres berkata, konflik dan perang global mewujudkan realiti berbahaya serta fasa ketidaktentuan kepada orang awam.
“Bagi berjuta-juta penduduk awam yang terperangkap dalam konflik di seluruh dunia, kehidupan mereka adalah di ambang kematian,” kata beliau kepada Perhimpunan Agung PBB.
Era huru-hara tersebut seperti yang beliau gambarkan, mewujudkan ‘situasi berbahaya dan tidak menentu’ ketika Majlis Keselamatan PBB berada dalam kebuntuan akibat ‘keretakan’ geopolitik.
Antara isu yang memecahbelahkan perpaduan PBB kata Guterres, ialah perang Israel di Gaza.
Tegas Guterres, beliau bimbang dengan laporan bahawa Israel mahu menumpukan serangan di selatan Semenanjung Gaza.
Kawasan di selatan Gaza itu didiami lebih sejuta pelarian Palestin yang mencari perlindungan daripada serangan udara dan darat Israel.
“Tindakan seperti itu akan meningkatkan lagi konflik yang sudah pun menjadi mimpi ngeri kemanusiaan dengan impak serantau yang tidak dapat dibayangkan,” ujarnya.
Setiausaha Agung PBB itu turut mengkritik negara-negara yang berusaha menambah bilangan senjata pemusnah besar-besaran khususnya senjata nuklear. Langkah tersebut, kata Guterres hanya akan menggugat keselamatan global dan menambah ketegangan serantau.
“Selepas berdekad-dekad usaha melucutkan senjata nuklear dilakukan, negara-negara kuasa besar kini bersaing untuk menjadikan senjata nuklear masing-masing menjadi lebih pantas, senyap dan tepat,” katanya.
Senjata-senjata tersebut yang dibangunkan tanpa ‘kawalan’, mewujudkan cara baharu untuk umat manusia saling membunuh dan memusnahkan diri merekja sendiri, kata Guterres.
Guterres menyatakan, walaupun wujud perbezaan dalam kalangan negara anggota Majlis Keselamatan pada masa lalu, percanggahan pada masa kini adalah jauh lebih buruk dan lebih berbahaya.
“Semasa Perang Dingin, mekanisme sedia ada membantu menguruskan hubungan antara kuasa-kuasa besar dunia.
“Namun, dalam dunia pelbagai polar masa kini, mekanisme itu tidak lagi wujud,” ujarnya.
Ketua PBB itu turut menggesa negara-negara anggota Majlis Keselamatan supaya ‘menjadikan’ Bumi aman dengan mengurangkan pencemaran yang merosakkan tamadun manusia. – AGENSI