fbpx

Bilangan penganggur turun kepada 567,800 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bilangan pengangguran di negara ini mencatatkan penurunan kepada 567,800 orang pada Disember 2023 berbanding 569,200 orang pada bulan sebelumnya.

Walau bagaimanapun kadar pengangguran bagi bulan tersebut kekal 3.3 peratus sama seperti bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, trend itu mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil,didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

“Justeru kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan itu seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan bilangan pengangguran.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023 dengan pertambahan 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja berada pada trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus yang merekodkan 16.46 juta orang berbanding bulan sebelumnya 16.43 juta orang.

Mengulas mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, jumlah penduduk bekerja pada Disember 2023 terutama kategori pekerja sebanyak 75.2 peratus.

“Kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.38 juta orang berbanding November sebanyak 12.37 juta orang.

“Trend peningkatan turut dapat dilihat dalam kategori bekerja sendiri yang meningkat 0.3 peratus kepada 3 juta orang.

“Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja terutama dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman dan pengangkutan dan penyimpanan,” ujarnya.

Tambah beliau, trend sama juga dilihat bagi bilangan penduduk bekerja sektor pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian pada Disember 2023.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pertanian pula terus menurun pada bulan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI