fbpx

Bakal pengantin dituduh cederakan warga emas hingga parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Zakaria mengaku tidak bersalah atas pertuduan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang warga emas di Mahkamah Majistret Sepang hari ini. FOTO KAMARIAH KHALIDI/ KOSMO!

SEPANG – Seorang pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan pada minggu depan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan warga emas.

Tertuduh, Mohammad Zakaria Mohd Razali, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa yang berusia 73 tahun di Taman Putra Prima di sini antara pukul 9 hingga 9.20 pagi, 30 Januari lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi mencadangkan wang jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan

Peguam Fazilawati Hussin bagaimanapun memohon anak guamnya diikat jamin pada kadar minimum dengan alasan menanggung ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.

Menurutnya, tertuduh yang bekerja sendiri dengan pendapatan RM2,000 sebulan turut menanggung dua adik yang masih menuntut di universiti dan sekolah menengah selain bakal melangsungkan perkahwinan pada 17 Februari ini di Kelantan.

Selepas mendengar permohonan, Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Sebutan semula kes pada 18 Mac depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI