fbpx

Anggota, pegawai bermasalah telah ‘conteng arang ke muka’ PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan kejadian salah laku membabitkan anggota dan pegawai hanya merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tegas beliau, beberapa siri kejadian yang kerap berlaku belakangan ini juga diibaratkan seperti ‘menconteng arang ke muka’ PDRM.

“Sebagai warga pasukan yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang.

“Oleh itu, saya sekali lagi ingin mengulangi serta memberi peringatan kepada diri saya dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut,” katanya

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Anjuran Jabatan Pengurusan, di Bukit Aman, pagi tadi.

Antara kes membabitkan salah laku anggota antaranya, seorang pegawai kanan polis ditahan terbabit kes bunuh secara langgar pelajar Tingkatan Lima di Perak, kekerasan terhadap lelaki oleh Ketua Polis Balai di Perak dan dua anggota terbabit kes samun serta rogol pelajar warga asing dalam kereta peronda di Selangor.

Selain itu, dua anggota ditahan disyaki terbabit kes samun di Terengganu, lima pegawai ditahan memiliki ketum di Melaka.

Seterusnya, lima anggota ditahan terbabit kes pemerasan pekerja kilang di Pulau Pinang, penemuan wang tunai RM3,753 daripada seorang anggota semasa menjalankan tugas di Selangor, seorang anggota disiasat menyimpan ‘angpau’ di Kuala Lumpur dan lapan anggota ditahan terbabit pemerasan di Johor.

Tegas Razarudin, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan.

“Tindakan akan diambil seperti mana yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” jelas beliau.

Razarudin turut memaklumkan, integriti perlu kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan itu.

Ulas beliau, warga pasukan itu perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan.

“Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi benteng kepada kita daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku,” jelas beliau.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI