KOTA KINABALU – Sebanyak 93 kertas siasatan tatatertib membabitkan pegawai serta anggota polis Sabah dibuka sepanjang tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, 67 kertas siasatan daripada jumlah itu sudah selesai manakala 26 lagi masih dalam siasatan.
“Sebanyak 55 kertas siasatan telah diambil tindakan seperti amaran, denda, lucut hak emolumen (hukuman yang dijatuhkan terutama buang kerja ataupun turun pangkat), tangguh pergerakan gaji dan turun gaji.
“Selebihnya diberi teguran dan tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPK Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Jauteh menyatakan pelbagai tindakan diambil oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) Kontinjen Sabah termasuk buang kerja ke atas pegawai mahupun anggota yang melakukan kesalahan.
“Kita tidak mahu melindungi (pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan) dan mulai daripada sekarang, sebab ini lah parasit dalam PDRM.
“Mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dan kita akan ambil tindakan sama ada melalui kertas siasatan jenayah mahupun kertas siasatan tatatertib,” katanya. – KOSMO! ONLINE