TAPAH – Seorang wanita warga emas maut apabila kereta Proton Saga yang dinaikinya terbakar di Jalan Bidor Lama di sini dalam kejadian kira-kira pukul 4.49 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, tiga mangsa lain termasuk dua kanak-kanak melecur ekoran insiden itu.
“Kebakaran tersebut melibatkan sebuah Proton Saga dengan kerosakan dianggarkan 98 peratus. Mangsa yang maut adalah penumpang tempat duduk belakang. Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.49 pagi dan begegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia sementara seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak dianggarkan berusia lima dan lapan tahun melecur.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut sementara mangsa yang melecur dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi, identiti semua mangsa belum dapat disahkan kerana kad pengenalan mereka hangus terbakar dalam insiden itu. – KOSMO! ONLINE