PETALING JAYA – Orang ramai dijemput memeriahkan acara Kuala Lumpur Prosperity Walk pada Sabtu ini yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Program anjuran Rangkaian Komuniti Bukit Bintang (NBBC) kerjasama dengan Persatuan Pelancongan BBKLCC diadakan bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei 2024.
Pengerusi Penganjur NBBC, Jack Lim berkata, acara tersebut adalah kali ketiga diadakan dan ia telah menjadi acara tahunan yang memberi makna kepada identiti kawasan Bukit Bintang dengan semangat FAME (Festival, Budaya, Muzik, Tarian).
Jelasnya, sambutan pada tahun ini lebih bermakna dengan sokongan berterusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyenaraikan Kuala Lumpur Prosperity Walk sebagai sebahagian daripada aktiviti rasmi sambutan Tahun Baharu Cina.
Tambahnya, laluan utama bagi acara ini merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik Bukit Bintang, dan ini termasuk Pasar Seni, River of Life (RoL), pusat membeli-belah komuniti GMBB, Hotel Federal, Lot 10, Plaza Low Yat, Sungei Wang, Berjaya Times Square, dan berakhir di Lalaport.
“Di sepanjang perjalanan, para peserta juga akan melalui kawasan ikonik lain, termasuklah Jalan Petaling dan Jalan Alor.
“Tarian naga dan singa turut akan dipersembahkan untuk hiburan pengunjung pada majlis pelepasan, manakala pakaian kostum berwarna-warni dan persembahan muzik akan mengiringi peserta di sepanjang laluan, yang mempamerkan keunikan intipati dinamik bandaraya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata, laluan kedua juga disediakan yang merupakan laluan lebih pendek berbanding laluan utama.
“Dengan hanya sejauh 1.4 kilometer, laluan ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit berjalan kaki. Bermula di kawasan air pancut Pavilion KL, ia akan membawa peserta melalui pelbagai mercu tanda seperti Starhill, Fahrenheit 88 dan Lot 10.
“Laluan kedua ini akan bergabung dengan laluan utama di Menara Hai O di Jalan Bukit Bintang. Para peserta akan menamatkan perjalanan di Lalaport dan bakal disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE