GOMBAK – Aliran trafik menghala ke arah utara dan Pantai Timur dilihat mula perlahan ekoran pertambahan kenderaan sejak pukul 4 petang tadi.
Tinjauan Kosmo! di Plaza Tol Duta dan Plaza Tol Gombak petang ini mendapati keadaan sesak kira-kira lima kilometer (km) sebelum melepasi lorong tol pembayaran dari ibu negara.
Orang ramai dilihat mengambil peluang ke luar negeri sempena pemberian tol secara percuma selama dua hari bermula 12.01 tengah malam tadi sehingga pukul 11.59 malam esok.
Pada hujung minggu ini juga, masyarakat Cina seluruh negara bakal menyambut Tahun Baharu Cina.
Selain itu, menerusi laporan trafik di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, trafik perlahan dan dijangka berlaku kelewatan melibatkan laluan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke arah Pusat Bandaraya, Senai Utara ke Sedenak dan Pasir Gudang ke Kempas.
“Bagi arah utara pula, trafik perlahan dan dijangkakan kelewatan dari Juru ke Perai, Tapah ke Gopeng, Bidor ke Tapah, Sungkai ke Bidor, Slim River ke Sungkai dan Hospital Sungai Buloh ke Rawang Selatan,” lapor LLM. – KOSMO! ONLINE