HELSINKI – Sebuah syarikat penerbangan di Finland mula menimbang berat badan penumpang bersama bagasi tangan dalam usaha untuk menganggarkan berat pesawat sebelum berlepas, lapor portal berita MailOnline semalam.
Langkah kontroversi itu diumumkan Finnair, yang mula menimbang berat penumpang pada Isnin lalu.
“Setakat ini, lebih 500 sukarelawan mengambil bahagian untuk menimbang berat badan mereka,” kata jurucakap Finnair, Kaisa Tikkanen.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengira berat pesawat dan penumpang untuk mengimbangi penerbangan serta membuat transit yang selamat.
“Hanya ejen perkhidmatan pelanggan bekerja di tempat penimbang boleh melihat berat badan penumpang. Justeru, anda boleh mengambil bahagian dalam kajian pelopor ini dengan tenang,” kata Ketua Proses Darat Finnair, Satu Munnukka.
Prosedur tersebut akan dilakukan sepanjang bulan ini, April dan Mei 2024 berdasarkan sistem sukarela. Namun, tidak dijelaskan alasan langkah itu tidak dilaksanakan pada bulan Mac.
Langkah itu menerima kritikan pengguna media sosial dengan ada berpendapat bahawa ia akan memalukan penumpang yang memiliki berat badan berlebihan.
Sebilangan individu turut menyatakan bahawa mereka tidak akan menaiki penerbangan Finnair kerana enggan dimalukan oleh peraturan tersebut. – AGENSI