PETALING JAYA – Seorang lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan sah ditahan selepas cubaannya memberi sogokan RM100 kepada anggota polis bertugas di pusat bandar Sandakan, Sabah, semalam.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lelaki berusia 20-an telah ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan kira-kira pukul 6 petang.
Suspek menawarkan kira-kira RM100 kepada anggota polis itu sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan semasa ditahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menawarkan rasuah kepada penjawat awam.
Beliau turut memuji tindakan anggota yang menolak tawaran rasuah tersebut dan beliau menyeru agar lebih ramai penjawat awam terutamanya daripada agensi-agensi penguat kuasa untuk tampil melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM. – KOSMO! ONLINE.