PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa pertimbangan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan pengampunan penuh ke atas hukuman dihadapi adalah ke arah menyantuni permintaan bekas Perdana Menteri itu dan ahli keluarganya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, langkah-langkah yang diambil kelak ketika dalam proses permohonan berkenaan hendak lah dibuat dengan mengambil kira rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Kita ke arah menyantuni permintaan (Datuk Seri) Najib dan ahli keluarganya.
“Elok lah langkah-langkah yang akan dibuat nanti mengambil kira rasa hormat kita kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 kerana baginda juga mempunyai kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bekas ahli Parlimen Pekan yang berhasrat memfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan berbuat demikian pada masa yang sesuai dan menunggu arahan anak guamnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keputusan pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE