ISLAMABAD – Berjuta-juta orang keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya umum Pakistan yang dicemari oleh dakwaan penipuan dengan calon yang mendapat sokongan tentera dijangka menang.
Pihak berkuasa menyekat perkhidmatan telefon bimbit di seluruh negara semasa proses mengundi untuk ‘mengekalkan undang-undang dan ketenteraman’ susulan kempen berdarah termasuk dua letupan semalam yang menyaksikan 28 orang terbunuh.
Penganalisis-penganalisis meramalkan peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan 128 juta pengundi berdaftar berikutan kempen politik yang hambar dan pemenjaraan bekas perdana menteri, Imran Khan.
Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dijangka memenangi sebahagian besar kerusi dalam pilihan raya kali ini. Menurut penganalisis-penganalisis, pengasas PML-N, Nawaz Sharif yang berusia 74 tahun juga telah mendapat restu barisan jeneral Pakistan. Pusat-pusat mengundi dibuka seawal 8 pagi (waktu tempatan) dan ditutup pada pukul 6 petang.
“Saya solat (subuh), kemudian saya mengambil saudara lelaki saya dan kami datang untuk membuang undi,” kata Zaeem Khan, 40, di luar sebuah pusat mengundi di Kolej Teknologi Kerajaan, bandar Lahore.
Pihak berkuasa mengerahkan lebih 650,000 anggota pasukan keselamatan untuk mengawal keselamatan semasa pilihan raya diadakan.
Pilihan raya kali ini menampilkan hampir 18,000 orang calon yang bertanding kerusi Parlimen dan empat dewan undangan peringkat wilayah
Pihak berkuasa turut menutup sempadan darat Pakistan dengan negara jirannya, Iran dan Afghanistan pada hari mengundi sebagai langkah keselamatan tambahan. – AFP