fbpx

Mesyuarat El Nino diadakan 22 Februari ini – Nik Nazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (tengah) pada sesi Dialog Pasca Perubahan Iklim (UNFCCC) - Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-28) dan RUU Perubahan Iklim, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan negara bagi menghadapi kesan fenomena cuaca semula jadi dikenali sebagai El Nino.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat yang berlangsung pada 22 Februari ini akan diadakan bersama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan persediaan terbaik diambil dengan fenomena cuaca panas ini.

Katanya, dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan itu juga akan membincangkan tentang masalah jerebu yang melanda negara.

“Sebagaimana kita tahu dalam fenomena El Nino ini keadaan akan jadi lebih kering dan panas. Seperti tahun lepas, negara memegang rekod terpanas dalam sejarah dunia.

“Jadi untuk membuat persediaan terbaik, satu mesyuarat akan diadakan 22 Februari ini dengan pelbagai agensi dan kementerian kerana cuaca panas akan memberi impak yang besar terhadap pelbagai aktiviti.

“Pada masa yang sama kita sedang dalam perbincangan berterusan untuk untuk menangani masalah jerebu serta kebakaran tanah gambut, sama ada yang berlaku di dalam atau luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Dialog Pasca Perubahan Iklim (UNFCCC)- Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-28) dan RUU Perubahan Iklim, di sini, hari ini.

Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka akan berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Muhammad Helmi berkata fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peralihan tenaga daripada penggunaan bahan api fosil, Nik Nazmi berkata, Malaysia memerlukan masa untuk beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui.

Jelasnya, usaha tersebut bukan sahaja perlu datang dari dari pihak kementerian malah memerlukan kerjasama dari semua pemain utama termasuklah negara-negara luar yang sudah membangun.

“Kita boleh lakukannya, tetapi peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui memerlukan masa yang sesuai, cara yang betul dan persefahaman yang terbaik antara semua pemain utama.

“Tidak boleh semata-mata berharap pada Malaysia iaitu sebuah negara yang sedang membangun. Perlu kerjasama semua negara-negara maju yang juga sedang bergantung kepada industri minyak dan gas.

“Malaysia tak boleh ambil langkah pertama kalau negara maju lain tidak ambil langkah yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI