fbpx

Mesir naikkan gaji minimum 50 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buruh binaan berjalan di tapak pembinaan projek mega Modal Pentadbiran Baharu Mesir kira-kira 45 kilometer di timur Kaherah pada 1 Ogos 2023. – AFP

KAHERAH – Presiden Abdel Fattah al-Sisi kelmarin mengarahkan gaji minimum dinaikkan 50 peratus ketika spekulasi bertiup kencang bahawa nilai mata wang pound Mesir akan terus susut.

“Berlandaskan kewajipan untuk menyokong rakyat berdepan situasi semasa, saya mengarahkan kerajaan menggubal pakej  perlindungan sosial termasuk menaikkan gaji minimum pekerja  50 peratus kepada 6,000 pound Mesir (RM925) sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan itu termasuk menaikkan pencen untuk 13 juta penerima sebanyak 15 peratus dan melaksanakan pengecualian cukai pendapatan 33 peratus untuk kakitangan awam dan swasta.

Nilai mata wang pound Mesir menjunam lebih separuh di pasaran gelap berbanding dolar Amerika Syarikat(AS)  sepanjang tahun lalu berbanding kadar rasmi 31 pound Mesir untuk AS$1.

Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  mengakhiri lawatan dua minggu ke Mesir semalam. 

Kunjungan IMF adalah membincangkan  pelan penyelamatan  berjumlah AS$10 bilion (RM47.64 bilion) yang dijangka disusuli penurunan nilai mata wang pound Mesir bagi menyamai kadar di pasaran gelap.

Negara mempunyai lebih 109 juta penduduk itu berdepan krisis ekonomi yang  serius dengan inflasi mencapai paras tertinggi, manakala rizab mata wang asing terus menjunam.

Pada Ogos 2023, kadar inflasi tahunan di Mesir mencecah 40 peratus, demikian menurut angka rasmi, menyebabkan ramai penduduk berada hampir atau di bawah garis kemiskinan. 

Lebih separuh penduduk Mesir  telah pun berada di bawah atau menghampiri  kemiskinan sebelum krisis semasa berlaku.

Hutang luar Mesir meningkat empat kali ganda, mencecah AS$164 bilion (RM781.38 bilion) sepanjang hampir 10 tahun pemerintahan Sisi. Komitmen membayar hutang pula melibatkan sebahagian besar perbelanjaan tahunan negara. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI