PETALING JAYA – Anak gadis Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim yang didakwa menikahi suami orang di Songkhla, Thailand bertindak menutup ruangan komen dalam Instagramnya.
Perkara itu dipercayai dilakukan selepas berita perkahwinan dengan individu bernama Aslam ketika isteri lelaki terbabit mengerjakan umrah Disember tahun lalu tular.
Susulan tindakan pempengaruh media sosial itu, laman sosial ibu bapanya pula dihujani serangan netizen yang meluahkan kemarahan termasuk mengungkit kisah lampau kedua-dua pelakon berkenaan.
“Ke mana tumpahnya kuah,” sindir pemilik sebuah akaun.
“Sekarang fahamkan, kita tua muda, kita sesiapa pun buatlah perkara baik sebab karma itu wujud. Tak kata pada awak semua, sampai masa kita kena telan apa yang pernah kita buat,” kata netizen lain.
Begitupun, masih ramai mempertahankan Norman dan Abby apabila meminta netizen tidak keterlaluan meninggalkan komen jahat sehingga lupa perihal berkaitan dosa.
Malah, rata-rata berpendapat ibu bapa gadis berusia 19 tahun itu tidak wajar dipersalahkan atas perbuatannya menconteng arang ke muka keluarga.
Sementara itu, menerusi semakan Kosmo! Online dalam Instagram Norman, sudah lama kelibat anak keduanya tidak kelihatan dalam foto acara membabitkan keluarga.
Paling terbaharu adalah sekitar seminggu lalu iaitu ketika sambutan ulang ke-11 adiknya, Muhammad Darwisz Hakim, sehingga ada pengikut pelakon drama Gerak Khas itu bertanyakan keberadaan Marissa.
“Semoga berbahagia selalu, lama tak tengok Marissa,” tulis seorang netizen.
“Marissa saja yang tiada,” kata pengikut laman sosial suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu.
Carian dilakukan turut mendapati Marissa tidak lagi mengikuti laman sosial kedua-dua orang tuanya.
Kontroversi membabitkan Marissa dengan lelaki berstatus suami orang yang sebelum ini disebut sebagai skandalnya muncul kembali gara-gara pembongkaran berita pernikahan mereka.
Biarpun tuan punya badan dan seisi keluarga membisu seribu bahasa, perkongsian beberapa siri hantaran dibuat kakak Misya Mazlan, Nadiah yang memberi bayangan kesahihan khabar angin tersebut.
Berita poligami tanpa pengetahuan isteri pertama itu kemudian disahkan benar menerusi balasan mesej Nadiah Mazlan kepada sebuah portal hiburan, malam tadi. – KOSMO! ONLINE