fbpx

Lapan scammer pekerjaan tidak wujud UK tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno ketika sidang akhbar di IPD Sentul hari ini. -Foto KOSMO! /SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu termasuk seorang wanita tempatan yang merupakan sindiket scammer pekerjaan tidak wujud antarabangsa berjaya ditumpaskan selepas serbuan dilakukan di pusat panggilan sekitar Taman Wahyu Jinjang, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 28 tahun ditahan di dua unit kondominum.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menyasarkan mangsa-mangsa di United Kingdom (UK).

“Modus operandi mereka adalah dengan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan iklan pekerjaan dalam talian kepada rakyat UK,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Ujar beliau, sindiket ini telah menggunakan nombor telefon United Kingdom untuk menghantar tawaran pekerjaan yang dibuat.

“Setelah mangsa membalas dan menyatakan bahawa berminat dengan tawaran kerja, manga diminta untuk mendaftar akaun di pautan ‘Globesailor V88’.

“Dalam pautan tersebut mangsa diarahkan untuk menyelesaikan tugasan seperti menekan ‘tanda suka’ iklan-iklan bagi pakej percutian dengan pembayaran deposit menggunakan matawang kripto Stablecoin Tether (USDT),” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa ditawarkan komisen sebanyak 0.5 peratus sehingga lima peratus bagi setiap tugasan yang berjaya.

“Suspek kemudiannya akan memberikan resit yang telah diubah suai bagi menyakinkan mangsa pembayaran komisen telah dibuat,” ujarnya.

Tambah beliau, sindiket yang aktif sejak awal tahun ini dianggarkan memperoleh lebih RM14,000 atau 3,000 USD dalam masa sehari.

“Kita juga masih menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di UK bagi mengenal pasti mangsa-mangsa terlibat.

“Risikan lanjut juga masih dibuat bagi mengenal pasti pusat operasi lain yang mempunyai rangkaian dengan sindiket ini,” katanya.

Sebanyak sembilan set komputer dan telefon bimbit (19); router (2) serta modem (2); rangkai anak kunci dan satu kad akses ke unit kondominium tersebut.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI