fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk Tebing Barat diawasi kamera berputar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan seorang juruteknik Israel memanjat kamera pengawasan di kawasan kediaman Ras al-Amud, Baitulmuqaddis Timur. - AFP

RAMALLAH, TEBING BARAT – Penduduk bandar Hebron, Tebing Barat mendedahkan kehidupan dikawal ketat ketika askar Rejim Zionis memasang kamera pengawasan berputar di serata tempat bagi merakam setiap pergerakan mereka.

Seorang penduduk, Umm Nasser berkata, kawalan semakin ketat itu bermula sejak permulaan perang Israel-Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

“Secara psikologi, saya berasa letih,” akui wanita Palestin yang berusia 55 tahun itu.

Umm berkata, pengawasan menerusi kamera yang dipertingkatkan dengan teknologi kepintaran buatan (AI) menyukarkan kehidupan penduduk.

“Kami telah cuba meletakkan kepingan kayu atau kain pada kamera pengawasan untuk mengekalkan privasi namun, setiap kali dilakukan, askar-askar (Israel) membuangnya,” jelasnya.

Tambah Umm, askar Zionis turut mengambil kad pengenalan penduduk dan memberitahu bahawa mereka akan menggunakannya untuk sistem pengecaman wajah.

Teknologi pengecaman wajah digunakan oleh tentera Israel di samping pelbagai peralatan canggih di wilayah Palestin yang telah dijajah sejak 1967 itu.

Salah satu contoh adalah aplikasi Blue Wolf yang digunakan oleh askar-askar Rejim Zionis pada telefon bimbit mereka. 

Menerusi kaedah itu, tentera Israel merakam wajah rakyat Palestin yang kemudiannya diperiksa pada pangkalan data.

Setelah dipadankan, sistem tersebut akan menunjukkan sama ada orang yang gambarnya dirakam itu berada dalam senarai untuk ditangkap oleh pihak berkuasa Israel.

Menurut seorang pelajar kedoktoran yang pakar dalam teknologi AI dan hak-hak asasi manusia, Sophia Goodfriend, sistem itu adalah sebahagian daripada strategi penjajahan tentera Israel yang mudah. 

“Aplikasi itu bergantung kepada teknologi pengawasan automatik dan pada kebiasaannya, ia digunakan bersama sistem AI. Ia juga direka untuk mengurangkan interaksi antara askar Israel dengan rakyat Palestin,” kata Goodfriend kepada agensi berita AFP.

Satu lagi sistem ialah Red Wolf, di mana ia telah digunakan di pusat pemeriksaan Israel di Al Khalil sejak sekurang-kurangnya pada 2022, demikian menurut siasatan oleh kumpulan hak-hak asasi manusia, Amnesty International.

“Sebelum saya mendekati pusat pemeriksaan, askar-askar Israel sudah mengetahui bahawa saya berada dalam senarai ‘merah’ sistem tersebut. Ini bermaksud saya menjadi satu ‘ancaman’ buat mereka,” kata aktivis Hebron, Issa Amron.

Ujar Issa, gambar penduduk Tebing Barat telah dirakam tanpa persetujuan mereka.

Katanya, penduduk juga tidak tahu bagaimana Rejim Zionis menggunakan imej dan data mereka yang telah dikumpul. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI