fbpx

Kawal pemakanan musim perayaan, elak pengambilan gula berlebihan – Dr. Emilia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Emilia

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengawal pengambilan makanan dan menjaga kesihatan oral termasuk penjagaan gigi sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Doktor Pergigian Pusat Perubatan Sunway, Dr. Emilia Chua Siew Li berkata, keterujaan menyambut perayaan kadangkala membuatkan orang ramai leka dan lupa terhadap kepentingan menjaga kesihatan pergigian yang baik.

Jelasnya, tidak salah untuk menikmati juadah yang lazat, tetapi secara bersederhana.

“Elakkan mengambil makanan dan minuman manis yang mengandungi gula berlebihan kerana ia boleh menyumbang kepada kerosakan gigi dan masalah kesihatan gigi yang lain.

“Sebagai alternatif, memilih sumber bergula yang kurang merosakkan gigi boleh memberi perubahan ketara terhadap kesihatan gigi anda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Emilia berkata, sebagai contoh, “dark chocolate” atau coklat kosong pilihan yang lebih baik berbanding gula biasa kerana kandungan gula tidak berlebihan dan ia kurang melekat pada gigi.

“Selain itu makanan bergula juga adalah lebih baik diambil bersama hidangan berat berbanding sebagai makanan ringan kerana pengeluaran air liur semasa makan boleh membantu meneutralkan asid dan membilas makanan,” katanya.

Tambahnya, pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dengan hummus, keju, kekacang, protein tanpa lemak, bijirin penuh, dan minuman seperti teh hijau dan hitam dapat memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan mulut.

“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, pengambilan buah oren pasti akan bertambah tetapi makanlah secara sederhana kerana oren bersifat asidik.

“Ia boleh menghakis enamel dan meningkatkan risiko kerosakan gigi. Galakkan kanak-kanak mengambil makanan manis secara sederhana.

“Pilih snek yang tidak merosakkan gigi dan digalakkan untuk minum air. Kekalkan rutin penjagaan mulut yang betul dan memantau cara memberus gigi bagi kanak-kanak yang lebih muda,”nasihatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI