BENTONG – Jumlah kenderaan yang memasuki Tol Bentong dijangka meningkat dalam tempoh dua hari bermula hari ini hingga esok sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Bentong, Suprintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ini berikutan pengumuman tol percuma selama dua hari ini yang dimanfaatkan sepenuhnya pengguna jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kita percaya, jumlah kenderaan meningkat berbanding hari biasa, tetapi pihak polis akan memantau semua jalan utama di dalam daerah Bentong terutamanya kawasan hotspot di kawasan bandar agar aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pengguna terjamin.
“Selain memastikan aliran trafik lancar dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan turut diutamakan,”katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.
Zaiham berkata, menerusi Op Selamat ini, semua jentera IPD Bentong akan digemblengkan termasuk elemen balai, kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), polis trafik termasuk risikan dan operasi akan diatur gerak secara holistik dan sistematik.
Katanya lagi, pengguna jalan raya diminta lebih peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa agar tidak terjebak dalam kesesakan lalu lintas ekoran orang ramai pulang ke kampung halaman.
“Pada masa sama, orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing dinasihatkan untuk memaklumkan kepada balai polis berdekatan (dengan mengisi borang) supaya rondaan dapat dipertingkatkan di kawasan terbabit bagi mencegah kegiatan jenayah seperti pecah rumah dan sebagainya.
“Menerusi makluman itu, kita akan tahu kawasan perumahan yang perlu dipertingkatkan rondaan lebih kerap melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik, termasuk di premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai.”ujarnya. – KOSMO! ONLINE