fbpx

Ibu janji kali ini ‘last’ ibu panjat gunung – anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan arwah Zahalita bersama anak, menantu dan cucunya ketika menyambut Aidilfitri tahun lalu.

KUANTAN – “Ibu janji ini ‘last’ (kali terakhir) ibu pergi panjat gunung. Tak sangka rupanya memang kali terakhir buat ibu,” ujar Muhamad Hafizzudin Saharuddin, 32, anak sulung pendaki wanita, Zahalita Othman, 52, yang meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut pada Selasa lalu.

Muhamad Hafizzudin berkata, ibunya itu tidak hanya memberitahu perkara yang sama kepada dia dan adik beradik lain, malah juga kepada saudara dan rakan terdekat.

Katanya, ibunya turut memberikan alasan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga selepas pendakian terakhirnya itu.

“Sebelum ibu pergi mendaki, kami anak-anak ada minta ibu supaya tidak pergi sebab bimbangkan ibu.

“Namun ibu berjanji dengan kami ini merupakan pendakian terakhir ibu. Ibu tidak hanya beritahu kami, tapi ibu beritahu semua orang yang dia jumpa bahawa ini merupakan pendakian terakhirnya kerana selepas ini mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini

Bercerita lanjut Muhamad Hafizzudin berkata, dia tidak menyangka ibunya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga pada hari lahir ibunya itu.

“Kebiasaannya setiap kali hari lahir ibu, saya akan menghubungi ibu dan kami akan ‘bergayut’ lama. Tetapi kali ini saya tidak dapat hubungi ibu kerana masalah talian telefon di sana.

“Saya juga tidak sangka ibu akan pergi meninggalkan kami sedangkan ibu seorang yang sangat sihat dan memang sudah biasa memanjat bukit dan gunung. Malah setiap tahun ibu melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Katanya lagi, kali terakhir dia berhubung dengan Zahalita iaitu sehari sebelum ibunya meninggal dunia yang mana ibunya ada mengirimkan gambar bersama rakan mendaki dikenali sebagai Anas.

“Saya tengok gambar ibu ketika itu saya nampak muka ibu sudah ‘lain’. Dalam hati saya kata ibu mesti sangat penat.

“Tetapi ketika itu saya tidak fikir lain. Tidak sangka esoknya saya diberitahu ibu sudah tiada,” katanya memberitahu jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor, pada malam ini.

Isteri Muhamad Hafizzudin, Nazurah Izzati Zahari, 32, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibu mertuanya itu adalah ketika mereka sekeluarga meraikan Hari Keluarga di Port Dickson Negeri Sembilan pada 20 Disember lalu.

“Ketika itu ibu baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia disebabkan sakit tua. Ibu sangat sedih dengan pemergian nenek. Ketika itu ibu pesan kepada kami sekeluarga tentang persediaan sekiranya dia sudah tiada termasuk tentang insuran yang dia ambil,” katanya.

Zahalita yang merupakan ibu tunggal meninggalkan lima anak berusia antara 17 hingga 32 tahun serta tiga orang cucu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI