fbpx

Harga lantai belian padi di Sarawak, Sabah RM1,300 per tan metrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu menyampaikan pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat-syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Tanjung Bijat dan Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad yang keseluruhannya bernilai RM810,000 bagi menggiatkan lagi penanaman yang mengaplikasikan teknologi moden.

SRI AMAN – Harga lantai belian padi ditetapkan kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah menyeragamkan harga minimum terjamin di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung itu mampu menyokong industri padi dan beras di Sarawak dan Sabah supaya terus kekal mampan dan berdaya saing.

Pada masa sama, katanya ia berupaya membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan mereka untuk meningkatkan pengeluaran padi.

“Pada masa ini, harga belian padi Sabah dan Sarawak adalah agak rendah iaitu sekitar RM900 hingga RM1,100. Kerajaan amat prihatin terhadap keluh kesah dan aduan daripada pesawah berkaitan harga belian padi oleh pengilang sebelum ini dengan kadar yang jauh lebih tinggi.

“Justeru pada hari yang baik ini, sukacita saya mengumumkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada kadar RM1,300 per tan metrik sepertimana terpakai kepada pengusaha padi di Semenanjung selaras dengan pengumuman Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di sini, hari ini sempena lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Sarawak, dengan diiringi Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mohamad Sabu menambah, pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak adalah ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa dengan harga minimum terjamin RM750 per tan metrik dan pemutuan padi secara tawaran di antara 14 peratus hingga 16 peratus.

Katanya penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih sahaja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI