IPOH – Hasrat seorang kanak-kanak perempuan untuk tidak ke sekolah hari ini benar-benar menjadi kenyataan apabila dia ditemui lemas dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor semalam.
Mayat Hanna Mikayla Azam, 7, dijumpai di bawah timbunan batang pokok pada pukul 9.05 pagi berdekatan Masjid Kampung Bidor.
Menurut ibu saudara mangsa, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, perkara tersebut diluahkan anak sulung daripada tiga beradik itu kepada bapa saudaranya semalam.
“Semalam, selepas dia balik dari sekolah dia ada beritahu pakciknya yang hari ini adalah hari terakhir dia ke sekolah. Dia cakap tidak akan ke sana lagi.
“Tidak tahu kenapa dia cakap begitu, mungkin itu gerak hatinya dan tidak sangka pula ia menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia terperangkap dalam kepala air ketika melakukan aktiviti perkelahan.
Menurut Aznur, ketika kejadian, adiknya tidak ikut serta dalam perkelahan kerana bekerja.
“Kali terakhir saya berjumpa tiga beradik itu pada Ahad lalu ketika mereka berkunjung ke rumah nenek di Ipoh.
“Tiga beradik itu berulang kali cakap mahu jumpa opah mereka, malah dalam tempoh selang seminggu ini, dua kali mereka datang ke sana. Semasa di sana, saya lihat mereka sangat gembira,” katanya. – KOSMO! ONLINE