fbpx

Dhabitah terlepas lagi slot Olimpik Paris 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DHABITAH kempunan untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan aksi 3m papan anjal individu wanita di kedudukan ke-24 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

KUALA LUMPUR – Malang terus menimpa skuad terjun negara apabila Nur Dhabitah Sabri terus kempunan untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung Julai depan.

Pada aksi saringan 3 meter (m) papan anjal wanita Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar sebentar tadi, Dhabitah gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-24.

Keadaan itu menyaksikan dia mengikut jejak langkah seorang lagi jaguh terjun kebangsaan, Pandelela Rinong yang turut gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris apabila tidak melepasi kelayakan 10m platform individu wanita.

Pada saingan 3m papan anjal sebentar tadi, Dhabitah menampilkan aksi kurang memberangsangkan apabila mengutip 238.15 mata keseluruhan selain menyaksikan terjunan keempatnya hanya mencatat 28.50 mata.

Seorang lagi atlet negara, Wendy Ng yang turut beraksi dalam acara tersebut sekadar berpuas hati di kedudukan ke-38 selepas melakukan catatan 216.00 mata keseluruhan.

Sementara itu, kedudukan pertama menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney yang mencatat 304.45 mata keseluruhan, diikuti atlet China, Chen Yiwen (297.75 mata) dan Sarah Bacon dari Amerika Syarikat (297.45 mata).

Terdahulu, gandingan Dhabitah dan Pandelela menerusi acara 10m platform seirama wanita turut menerima nasib sama apabila menamatkan saingan di tempat ke-12, sekali gus gagal menempah slot ke Sukan Olimpik.

Selain itu, gandingan bersama Wendy dalam acara 3m papan anjal seirama wanita juga gagal membawa Dhabitah ke Paris apabila mereka sekadar menduduki tangga kesembilan dengan 258.30 mata keseluruhan.

Kegagalan skuad terjun negara pada kejohanan di Doha itu pasti menjadi tamparan hebat memandangkan hanya Bertrand Rhodict Lises menjadi satu-satunya penerjun Malaysia ketika ini yang sudah mengesahkan tempat ke Paris. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI