JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Hulu Sungai Tengah, wilayah Kalimantan Selatan berlangsung penuh meriah meskipun ketika paras banjir mencapai ketinggian 1 meter, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Berdasarkan video yang tular di platform TikTok, tetamu undangan masih menghadiri majlis tersebut ketika air banjir mencapai paras paha orang dewasa.
Mereka mencedok makanan seperti biasa serta bersalam dan bergambar dengan pasangan pengantin.
Menurut rakan pengantin, Maulidya Devi Yuniar, hujan lebat di kawasan itu menyebabkan air naik dengan pantas.
“Hujan lebat turun di kawasan Pergunungan Meratus. Ia menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rendah, terutamanya kawasan kami,” katanya.
Tambah Maulidya, meskipun terkejut pada awalnya, pasangan pengantin membuat keputusan untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka.
“Acaranya diteruskan sehingga selesai. Alhamdulillah, berjalan lancar,” katanya.
Ujar Maulidya lagi, pihak keluarga pengantin ada menyediakan perahu untuk menghantar tetamu ke kawasan pelamin bagi bergambar dengan pengantin.
“Tetamu dibawa bertemu pengantin terlebih dahulu di pelamin. Setelah selesai bergambar, barulah mereka bergerak ke tempat makanan yang dinaiki air,” ujarnya.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Saya puji tetamu yang tetap datang walaupun banjir. Kalau di sini, hujan sedikit pun sudah tidak mahu pergi (kenduri),” kata seorang netizen. – AGENSI