BUKAN sekali dua pelakon handalan Beto Kusyairy harus menjawab persoalan tentang zuriat selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga.
Sehingga kini masih ada individu yang seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah apabila bertindak melemparkan tuduhan kononnya pelakon itu dan isterinya sengaja enggan menimang anak.
Ada yang tergamak meninggalkan komen melukakan tanpa memikirkan perasaan Beto dan isterinya, Tisha Sahar yang sememangnya sudah berusaha mendapat zuriat.
Setiap orang tidak kira selebriti mahupun orang biasa mempunyai sempadan dalam berkongsi hal peribadi, lebih-lebih soal dalam kain.
Menerusi ruangan komen sebuah laman sosial, individu yang menggunakan akaun nama wanita itu mendakwa andai dia menjadi ibu Beto, dia pasti bersedih kerana aktor itu tidak dapat menyambung generasi keluarga.
Mizz Lahar pun tak faham apa yang cuba disampaikan sebab sepanjang pengetahuan Mizz Lahar, Beto dan Tisha bahagia saja, orang luar, janganlah menyibuk lebih-lebih.
Mujur Beto jenis tenang, selain bertegas dia bertuah sebab ada keluarga dan mentua yang tidak berfikiran kolot sebegitu. Kan dah kena setepek!
Mizz Lahar: Seronok tengok keletah anak dara Adira Suhaimi, Anggerik yang petah dan pandai beraksi macam ibunya.