ALOR SETAR – Bekas ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan strok, hari ini.
Anak Mohd Azraai, Firdaus Zainuddin menerusi media sosial memohon orang ramai sedekahkan al-Fatihah dan mendoakan agar arwah ditempatkan bersama orang beriman.
Terdahulu, Firdaus memaklumkan bapanya dikejarkan ke hospital akibat serangan strok.
“Mohon doakan kesihatan ayah saya, ‘daddy’ diserang stroke dan sekarang dikejarkan ke hospital,” katanya.
Menurutnya lagi, doktor masih mencuba untuk menyelamatkan bapanya.
Dia kemudian memakluman bapanya telah menghembuskan nafas terakhir, sebentar tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din menerusi akaun Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.
“Mendapat perkhabaran duka legenda bola sepak Malaysia dan negeri Kedah, sahabat perjuangan saya ‘coach’ Azraai Khor Abdullah kembali ke rahmatullah sebentar tadi,” tulisnya.
Mohd Azraai Khor merupakan nama yang terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah setelah kejayaannya menyapu bersih enam piala dalam tempoh dua tahun dengan memimpin Kedah merangkul kejayaan double treble musim 2006/2007 serta 2007/2008.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Alor Semadong, di sini juga pernah menjadi jurulatih skuad Harimau Muda A pada 2010. – KOSMO! ONLINE