BANGI – Susulan pendedahan mengenai seorang artis mengambil bahan terlarang, ada individu terasa hati sehingga aktres Rozita Che Wan terpaksa menurunkan muat naik videonya atas desakan sebuah pihak pengurusan.
Katanya, dia akur terpaksa memenuhi gesaan pihak tersebut dengan memadamkan hantaran dimuat naik kerana enggan memanjangkan isu.
“Selepas berkongsi video amaran meminta pelakon baharu berwaspada dengan pujukan seorang aktres mencuba bahan terlarang, saya dihubungi pihak tertentu.
“Rupa-rupanya ada yang terasa dan minta wakilnya menggesa saya memadam hantaran berkenaan, sedangkan saya tidak menyebut nama sesiapa.
“Apa pun saya turuti saja permintaan (padam), bukan takut sebaliknya sebab saya didesak,” katanya selepas sidang media Lip Lap Ramadan Hotel Tenera Bangi, hari ini.
Pelakon dan usahawan itu berkata, tujuan asal membangkitkan hal yang tular hanya mahu memperingatkan bakat muda agar jangan terpedaya dengan pujukan individu dimaksudkan.
Ujarnya, dia enggan masuk campur urusan peribadi selebriti senior terbabit, tetapi terpaksa bersuara selepas kasihan dengan mangsa.
“Saya didatangi pelakon muda itu buat kali kedua dan tergerak menyuarakan masalah yang dicetuskan individu sama agar semua bakat baharu berjaga-jaga.
“Harap jangan terjerumus dengan perkara negatif, itu saja. Soal dia nak menggunakan bahan terlarang, itu pilihannya cuma jangan pengaruhi orang lain,” ujarnya.
Beberapa hari lalu pelakon drama Bedah Tong Gas itu menyelar tindakan seorang individu popular yang dilihat cuba menjerat bakat baharu agar mencuba bahan terlarang bersamanya.
Perkongsian Che Ta tular dalam laman sosial sehingga mengundang persoalan dalam kalangan netizen mengenai identiti pelakon dimaksudkan. – KOSMO! ONLINE