BOUAKE – Nigeria membuktikan mereka lebih layak untuk berada di pentas final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023 selepas mengecewakan Afrika Selatan pada aksi separuh akhir awal pagi semalam.
Aksi tersebut dipenuh drama apabila berlanjutan sehingga masa tambahan 120 minit selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebelum aksi terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti dan Nigeria lebih unggul untuk meraih kemenangan 4-2.
Pada perlawanan itu, Nigeria terlebih dahulu berada di depan menerusi ketua pasukan mereka, William Troost-Ekong yang meledak gol pada minit ke-67 sebelum Afrika Selatan mendapat peluang menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Teboho Mokoena pada minit ke-90.
Nigeria sepatutnya mampu ‘membunuh’ perlawanan itu menerusi Victor Osimhen untuk gol kedua mereka apabila mudah menolak bola masuk ke gawang Afrika Selatan, namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran yang dilakukan terhadap Percy Tau.
Aksi tersebut juga menyaksikan Afrika Selatan terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan mereka, Grant Kekana dilayangkan kad merah pada minit ke-115.
Nigeria turun berdepan Afrika Selatan dengan rekod pertemuan yang cemerlang apabila berjaya meraih kemenangan dalam tiga pertemuan terakhir mereka iaitu ketika aksi separuh akhir AFCON 2000 di Nigeria, aksi peringkat kumpulan pada edisi berikutnya di Tunisia dan pada suku akhir saingan di Mesir 2019.
Pada saingan separuh akhir itu, pengendali Nigeria, Jose Paseiro membuat satu pertukaran apabila menggunakan khidmat Bright Osayi-Samuel di bahagian pertahanan kiri menggantikan Zaidu Sanusi yang bermain pada aksi suku akhir ketika mereka menumbangkan Angola 1-0.
Nigeria juga bernasib baik apabila kembali mendapatkan khidmat Osimhen yang pulih daripada kecederaan perut sebelum itu, sekali gus menyemarakkan semangat para peminat mereka dan pasukan itu dijangka membuat perhitungan dengan tuan rumah, Ivory Coast untuk menjulang kejuaraan pada edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE