BALING – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dia pandu terbabas ke kawasan semak di Kampung Kubang Berdenggung, Jalan Sungai Petani-Baling, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, M. Moganasuntheram, 60, yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman .
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke rumahnya di Taman Orkid, Kuala Ketil dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.
“Kereta jenis Proton Saga Iswara dipandu mangsa seterusnya terjatuh ke kawasan semak samun menyebabkan lelaki terbabit tersepit.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE