PETALING JAYA – Pengguna lebuh raya seluruh negara akan menikmati tol percuma selama dua hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu bermula 12.01 tengah malam 8 Februari (esok) hingga 11.59 malam 9 Februari ini (Jumaat).
Bagaimanapun katanya, pengecualian itu tidak termasuk Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) di Johor.
“Sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan telah bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya.
“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Jumaat) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Sabtu) dan istimewa untuk kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja,”tulisnya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, inisiatif itu akan membabitkan implikasi kewangan RM42.99 juta.-KOSMO! ONLINE