fbpx

Tahap kesedaran generasi Z tentang IR4.0 membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kanan) Jasvinder, Mohamad Sirajuddin dan Najmie pada sidang media berkenaan hasil kajian terhadap tahap kesedaran pelajar generasi Z mengenai IR4.0 di ibu negara hari ini.

PETALING JAYA – Kesedaran dan penglibatan pelajar generasi Z dalam teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data serta Internet of Things (IoT) di Malaysia masih rendah dan berada pada tahap membimbangkan.

Kajian oleh Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC), Yayasan Harapan, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dan Smatrix Consultancy Sdn. Bhd. (Smatrix Consultancy) melibatkan seramai 920 pelajar di beberapa buah sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati hanya 58 peratus daripada responden pernah mendengar atau membaca mengenai analitik data.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Smatrix Consultancy, Jasvinder Singh berkata, kajian juga mendapati hanya 75 peratus pelajar sekolah dan IPT terbabit pernah mendengar atau membaca mengenai AI, “Cloud Computing” (48 peratus) dan “Additive Manufacturing” (24 peratus).

“Pelajar yang terlibat dalam pengajian Revolusi Industri pula hanya 22 peratus, AI (17 peratus), “Cloud Computing” (14 peratus), “Additive Manufacturing” (tiga peratus).

“Kajian ini bermula 15 November 2023 dan mengambil masa selama dua bulan untuk dilengkapkan melibatkan 25 buah IPT awam dan swasta serta enam buah sekolah di Putrajaya.

“Dapatan penyelidikan adalah ke atas 920 pelajar generasi Z yang lahir dari tahun 1997 hingga 2012 dan kini berumur antara 16 hingga 26 tahun,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Jasvinder berkata, kajian juga mendapati sebanyak 81 peratus responden percaya bahawa pembelajaran mengenai teknologi dan ilmu IR4.0 mengambil masa yang panjang dan susah, manakala 80 peratus responden percaya pembelajaran mengenai IR4.0 mahal dan kurang pasti di mana boleh mengambil kursus mengenai IR4.0.

Tambah beliau, sebanyak 66 peratus responden berpendapat bahawa pembelajaran khusus berkaitan IR 4.0 perlu melibatkan proses pengendalian peralatan dan teknologi IR 4.0, sebanyak 65 peratus responden berasa perlu mempelajari lebih banyak perkara mengenai IR 4.0 untuk meningkatkan keyakinan dan 64 peratus responden merancang menggunakan teknologi dan ilmu IR 4.0 dalam kerjaya masa depan.

“Hal ini mungkin akan menyebabkan kesukaran untuk generasi Z ini untuk memasuki pasaran kerja yang kini semakin berkaitan dengan IR4.0. Hal ini turut membawa impak negatif dan penurunan kepada daya inovasi, produktiviti, kecekapan, serta daya saing generasi Z di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor KLMUC, Najmie Noordin berpendapat, program-program yang berasaskan digitalisasi dan teknologi IR4.0 harus diperkenalkan di peringkat sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi bermula sekarang supaya Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain.

Menurut beliau, langkah itu membantu pelajar memahami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang IR4.0 sekaligus membantu melahirkan tenaga kerja yang berkualiti, lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja moden yang bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan industri negara.

Presiden MCCA, Mohamad Sirajuddin pula berkata, para pekerja terutama daripada generasi Z yang tidak mempunyai kemahiran teknologi IR4.0 akan menghadapi kesukaran bukan sahaja dalam mencari pekerjaan, malah mengekalkan pekerjaan masing-masing.

“Oleh itu, penting bagi para pekerja mempelajarí ilmu dan kemahiran baru IR4.0 untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan global merentas sektor industri supaya tidak tertinggal dalam bidang masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI