SEBERANG PERAI – Pembonceng wanita yang juga orang kelainan upaya (OKU) bersama suaminya yang tular menendang serta melempar pasir ke arah muka pengguna Jambatan Pulau Pinang, kelmarin ditahan reman selama empat hari, mulai hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek berusia 50-an dan 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini.
Penahanan reman terhadap mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, pasangan terbabit yang dibawa dengan menaiki trak polis tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Mereka dilihat selamba ketika dibawa anggota polis pengiring dalam keadaan tangan bergari.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan polis telah menahan pasangan lelaki dan wanita yang dipercayai bertindak melempar pasir dan menendang pengguna jalan di kawasan Jalan Patani, George Town di sini.
Penahanan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas itu dilakukan selepas pihak polis terkesan satu klip video menerusi laman sosial Facebook. – KOSMO! ONLINE