PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) akan mengaktifkan 14 laluan SmartLane di lokasi-lokasi kritikal bagi membantu menyuraikan trafik yang dijangka meningkat hingga lebih dua juta kenderaan sehari berikutan musim cuti sekolah dan sambutan Tahun Baharu Cina bermula esok.
Plus melalui satu kenyataan berkata, pembukaan SmartLane tersebut dilaksanakan pada masa dan tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan plus menambah kapasiti lorong di laluan-laluan terbabit untuk melancarkan pergerakan trafik.
“Kami juga amat mengalu-alukan pengumuman larangan kenderaan berat di lebuh raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan yang berkuatkuasa pada 8 Februari hingga 9 Februari 2024 dan 12 Februari hingga 13 Februari 2024.
“Ini kerana ia akan memberi peluang kepada pengguna bergerak dengan lebih lancar dan selesa di musim perayaan ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Antara lokasi-lokasi kritikal yang telah dikenalpasti adalah di Bukit Tambun hingga Plaza Tol Juru (Arah Utara), Bandar Cassia hingga Hentian Sebelah Sg Bakap (Arah Selatan), Gua Tempurung hingga Gopeng (Arah Utara).
Sementara itu, Slim River hingga Sungkai (Arah Utara), Sungkai (Arah Selatan), Kawasan Rehat & Rawat (RNR) Rawang hingga Sg. Buaya (Arah Utara), Susur Keluar Petron, NKVE hingga Subang (Arah Utara), Nilai hingga RNR Seremban (Arah Selatan), Restoran Jejantas USJ hingga Seafield (Arah Utara) serta P. Dickson hingga Seremban (Arah Utara).
Bukan itu sahaja, antara lokasi lain adalah; Air Keroh hingga Hentian Sebelah Jasin (Arah Selatan), Kulai hingga Senai (Arah Selatan), Senai hingga Kulai (Arah Utara) dan Dato Onn hingga Pasir Gudang (Arah Selatan).
Dalam pada itu, Plus akan menempatkan seramai 450 anggota PLUSRonda untuk membuat lebih banyak rondaan di lebuh raya untuk memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya selain 1,500 kakitangan di plaza tol dan memastikan semua 1,075 lorong beroperasi sepenuhnya.
“Seramai 2,100 kakitangan penyelenggaraan pula akan ditugaskan untuk memastikan kebersihan di semua kawasan RNR dan hentian sebelah terjaga demi keselesaan pengguna.
“Turut disediakan adalah tandas-tandas tambahan di 21 lokasi terpilih serta penyediaan 79 kawasan meletak kenderaan tambahan di beberapa lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya,” tambah kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE.