PETALING JAYA – Polis mengesahkan kertas siasatan berhubung bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua hampir lengkap dan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan Tony Pua bakal siap dalam masa terdekat.
“Kes Tony Pua masih dalam siasatan kami. Kita baru sahaja memanggilnya (ke Bukit Aman) semalam untuk memberi keterangan.
“Bagi saya masa sekurang-kurangnya tujuh hari untuk siapkan dan lengkapkan kertas siasatan ini. Seterusnya kita akan hantar ke pejabat Peguam Negara,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Pelancaran Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina di Persada PLUS Subang, di sini, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Tony Pua disoal sebanyak 60 soalan berhubung hantaran bersifat biadab susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jelas beliau, kerjasama penuh diberikannya sepanjang proses memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas Tony, lima hantaran yang dibuat dalam laman sosial Facebook pada Sabtu lalu dilihat tidak mengandungi sebarang unsur hasutan.
“Saya telah hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi siasatan lanjut di bawah Akta Hasutan berkaitan lima hantaran saya di laman sosial Facebook peribadi saya berkait keputusan Lembaga Pengampunan.
“Pada saya, tidak tahu macam mana sebarang hantaran yang dibuat itu mengandungi unsur hasutan di bawah akta tersebut kerana saya lihat ia tiada unsur hasutan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, pihaknya menggesa masyarakat yang mahu pulang ke kampung halaman agar memaklumkan kepulangan mereka di balai berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP 2.0) bagi membanteras jenayah pecah rumah ketika perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya, Op Selamat 21 dengan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi” akan dilaksanakan di seluruh negara bermula esok hingga Isnin depan.
“Dua objektif utama operasi adalah meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.