SEREMBAN – Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel secara borong tanpa lesen pada 11 Oktober 2022.
Orang Kena Saman (OKS), M. Jagathisan 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Mazni Nawi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 13,405 liter, dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa lesen.
Perbuatan itu dilakukan di Lot 10654, Batu 6, Jalan Seremban 71010 dalam daerah Port Dickson pada kira-kira pukul 11.30 pagi bertarikh 11 Oktober 2022.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nazarudin Zainuddin memohon mahkamah mengambil pertimbangan akan ketirisan yang hilang hasil cukai yang dibayar oleh rakyat dan mencadangkan agar satu hukuman literal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
“Banyak kes didaftarkan berhubung ketirisan dan saya percaya denda yang rendah tidak akan menberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam pembela, Harcharan Singh berkata, anak guamnya hanya mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 dan perlu menanggung seorang ibu dan adik.
“Ini kali pertama anak guam saya melakukan kesalahan dan OKS telah insaf akan perbuatan selain memberikan kerjasama sepenuhnya dari tarikh ditangkap. Saya memohon agar wang denda dikurangkan,” katanya lagi.
Mazni kemudiannya menetapkan denda dikenakan terhadap OKS sebanyak RM35,000 dan sekiranya gagal boleh dikenakan penjara empat bulan. – KOSMO! ONLINE