KINABATANGAN – Seorang pekerja ladang dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya dalam kejadian di Ladang Linddale, Paris 2 hari ini.
Mangsa, Roberto Martinus, 37, dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Azlan Shah Jamalluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 6.39 pagi tadi.
Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut sumber penduduk kampung, mangsa dikatakan melakukan aktiviti memancing sebelum dipercayai disambar buaya ketika berada di tepi sungai berkenaan.
“Mangsa dikatakan selalu memancing bersendirian sebelum memulakan kerja di ladang berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azlan Shah berkata, pemantauan di lokasi mangsa dipercayai dibaham berjaya menemui kasut dan peralatan memancing milik mangsa.
Katanya, pasukan operasi turut menemui beberapa ekor ikan yang dipercayai hasil aktiviti memancing mangsa.
“Selain itu, terdapat kesan tapak kaki buaya di lokasi mangsa dibaham dan operasi pencarian dijalankan meliputi keluasan kira-kira lapan kilometer persegi,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, mangsa masih belum dapat ditemui dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE