JEMPOL – Seramai lapan lelaki didenda sebanyak RM2,500 setiap seorang di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merusuh di Pekan Jelai, di sini, Ahad lalu.
Tertuduh, B. Suresh, 39, S. Sekaran Nair, 25, S. Sathiya, 24, How Kim Keng, 28, How Kim Loon, 27, How Kim Hing, 21, M Murugan, 35, dan M.K Dhanushwaran, 20, yang kesemuanya tidak diwakili peguam membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Majistret turut menetapkan sebulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemua lapan tertuduh bersama-sama dua individu yang masih bebas telah didapati menyertai satu rusuhan di mana mereka telah mencederakan sesama sendiri dalam pergaduhan kira-kira pukul 4.30 pagi, di Pekan Jelai, Bahau, pada 4 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE