fbpx

Kertas siasatan 5 anggota MPV peras ugut pekerja kilang selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin (gambar) hadir melancarkan Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai, hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang selesai melengkapkan kertas siasatan membabitkan lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) yang dipercayai terlibat dalam kes pemerasan seorang pekerja kilang di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kertas siasatan tersebut telah diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudiannya akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan kepada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN) untuk arahan selanjutnya.

“Kita perlu tunggu keputusan daripada PPN negeri untuk pastikan berapa ramai anggota yang akan dituduh serta siapa yang akan menjadi saksi.

“Sekiranya kesemua mereka terlibat dalam kes ini, kita akan lihat sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lima anggota polis MPV ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan seorang pekerja kilang membabitkan RM4,500.

Mereka terdiri seorang anggota yang berpangkat Sarjan, dua Koperal dan tiga lagi Lans Koperal itu masing-masing berusia 24 hingga 48 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya dalam perancangan melakukan rombakan dan penukaran seramai 90 anggota MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sudah berkhidmat lebih enam tahun.

“Kini kita dalam perancangan untuk menukarkan mereka ke jabatan lain. Secara keseluruhan kita mempunyai kekuatan lebih 300 anggota URB, MPV membabitkan lima daerah di Kontinjen Pulau Pinang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI