BUKIT GANTANG – Kerajaan akan memperkenalkan Beras Madani sebagai mekanisma membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berkaitan perkara tersebut.
Katanya, antara yang dibincangkan adalah mengenai cadangan penetapan harga siling penjualan Beras Madani.
“Pada masa ini harga jualan beras import tidak tersenarai di dalam harga kawalan, manakala beras tempatan pula kurang di pasaran .
“Atas inisiatif ini kerajaan akan memperkenalkan Beras Madani dengan penetapan harga siling bagi mengurangkan kos sara hidup pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Murah Ahli Parlimen Bukit Gantang di Changkat Jering di sini hari ini.
Menurut Syed Abu Hussin Hafiz, dengan wujudnya Beras Madani dan penetapan harga siling yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi, ia akan menyelesaikan isu harga beras yang menjadi rungutan rakyat di negara ini.
Tambahnya, penetapan harga siling beras madani akan membolehkan kerajaan mengawal harga makanan ruji itu di pasaran. – KOSMO! ONLINE