LONDON – Sepasukan polis dikerah ke sebuah kedai amal selepas menerima panggilan bahawa premis tersebut menerima sebutir ‘bom tangan’ yang diberikan sebagai sumbangan, lapor laman berita Daily Star semalam.
Anggota polis dan unit pemusnah bom bergegas ke pusat beli-belah The Arcades, Warrington Street, Britain dalam insiden pada petang semalam.
Dua laluan masuk ke stesen bas dan pusat beli-belah itu ditutup, manakala pasukan Pelupusan Kelengkapan Letupan (EOD) turut dipanggil.
Dalam kejadian itu, pusat beli-belah The Arcades mengesahkan tiga kedai ditutup sebagai langkah berjaga-jaga tetapi tempat letak kereta dan kedai-kedai lain tetap dibuka.
Jurucakap Polis Greater Manchester berkata: “Pada kira-kira pukul 1.15 petang (waktu tempatan) pada 6 Februari 2024, anggota polis telah dikerah selepas sebutir ‘bom tangan’ ditemui di sebuah premis perniagaan di Warrington Street, Ashton-under-Lyne.”
Bagaimanapun, pasukan keselamatan tidak menemui bom tangan, sebaliknya hanya bahan latihan tidak berbahaya di dalam sebuah beg sumbangan yang diberikan kepada kedai tersebut.
“EOD juga berada di tempat kejadian untuk menilai barangan itu. Namun, pada masa ini, ia percaya barangan itu tidak mempunyai risiko,” ujar jurucakap tersebut. – AGENSI