PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan gesaan segelintir pihak untuk memberikan penjelasan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lazimnya Lembaga Pengampunan tidak akan memberikan apa-apa komen atau kenyataan selepas keputusan dibuat malah, ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya perbahasan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan itu dihentikan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Ditanya pandangan peribadinya adakah wajar penjelasan diberikan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan itu, Fahmi berkata, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa tidak perlu penjelasan dibuat mengenai keputusan itu.
“Saya terima pandangan pakar perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi yang menulis rencana di sebuah akhbar sebelum ini.
“Beliau (Dr. Shad) menyatakan bahawa perbincangan dalam Lembaga Pengampunan ini berstatus rahsia dan saya bersetuju dengan pandangan itu,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin mendesak kerajaan supaya memberi penjelasan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE